KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki berhubung kesalahan dadah, Ogos tahun lalu.
Sahrir Suardin, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju didakwa telah secara rasuah meminta suapan berjumlah RM5,000 daripada Mohd Afifi Sazly Mohd Radzi, 31.
Wang itu sebagai dorongan untuk menukar seksyen kes dadah yang melibatkan Mohd Afifi kepada seksyen yang lebih ringan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokap Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini pada 9.20 pagi, 17 Ogos 2017.
Dia juga didakwa secara rasuah memperoleh suapan sebanyak RM1,000 daripada Mohd Afifi sebagai dorongan bagi perbuatan sama di Blok D, Tingkat 3, IPD Wangsa Maju, pada 8.55 malam, 18 Ogos 2017.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.
Bagaimanapun, Mohd Afifi yang diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.
“Tertuduh berasal dari Sabah dan isterinya menetap di sana. Selepas ditangkap pada tahun lalu, tertuduh telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh dikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan sebulan sekali dan menetapkan 9 Nov untuk sebutan semula kes. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..

