TAIPING – Kerajaan Perak mempelawa mana-mana syarikat yang berminat untuk bina laluan alternatif bagi menangani kesesakan serta mengurangkan kemalangan jalan raya di kawasan Terowong Menora Lebuhraya Utara-Selatan.
Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunis Jamhari berkata setakat ini belum ada pihak yang tampil membuat cadangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.
Buat masa ini kerajaan negeri memfokuskan kepada pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Sabak Bernam ke Taiping yang apabila siap kelak dijangka dapat mengurangkan kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat, katanya pada sidang media selepas majlis penutup Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat dan Media, di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai cadangan sebuah syarikat untuk membina lebuh raya sepanjang 116 kilometer yang menghubungkan Jelapang dan Batu Kawan di Pulau Pinang melalui Selama, bernilai RM4.6 bilion yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun jika mendapat kelulusan kerajaan persekutuan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Unit Faedah Ibu Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Ismail Abi Hashim menasihati orang ramai agar tidak berurusan dengan ‘orang tengah’ dalam sebarang tuntutan orang berinsurans.
Katanya Perkeso menerima beberapa laporan berhubung sindiket menetapkan sejumlah bayaran bagi menguruskan hal-hal berkaitan tuntutan insurans.
“Walaupun jumlah kes kecil namun orang ramai perlu lebih berhati-hati dan segera memaklumkan kepada Perkeso sekiranya berdepan kes sedemikian.
“Malah, ada sindiket ini yang dilaporkan turut memegang kad bank orang berinsurans atau waris,” katanya. – BERNAMA
