BANGKOK – Tiga lelaki etnik Hmong termasuk seorang yang dipercayai dalang, ditahan bersama bekalan dadah yang besar merangkumi lebih 12 juta pil yaba dan 100 kilogram ‘ice’ di Chiangrai, utara Thailand yang bersempadan Myanmar.
Ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan bersama-sama dadah yang disembunyikan di dalam trak pikap di daerah Chiangkhong, Chiangrai, kira-kira 9 malam dua hari lalu.
“Berdasarkan siasatan kami, dadah terbabit akan dibawa ke selatan Thailand dan diseludup ke negara ketiga untuk dieksport ke Indonesia dan Filipina,” kata pegawai Biro Pencegahan Narkotik (NSB) Kol. Doy Wngpoom di sini pada Isnin.
Menurutnya NSB percaya lelaki berusia 35 tahun yang dirujuk mereka sebagai dalang, menyelaras pengedaran dadah dengan anggota sindiket lain di Myanmar, Laos, Malaysia dan Taiwan.
Dalang itu kata Wngpoom berurusan dengan kilang-kilang dadah di Segi Tiga Emas dan pembeli lain di seluruh rantau.
“Kami juga percaya dia terlibat dengan penghantaran lain sebelum ini,” katanya, menambah ketiga-tiga lelaki memilih Sabtu lepas untuk menjalankan kegiatan mereka kerana menyangka kawalan pihak berkuasa kurang ketat.
Sabtu lepas merupakan cuti umum di Thailand bagi memperingati kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej dua tahun lalu.
Sementara itu, NSB juga mengumumkan kejayaan merampas 1.8 tan ganja menerusi dua kes masing-masing pada 11 Okt dan dua hari lepas.
Kes pertama pada 11 Okt melibatkan rampasan 800 kg ganja di Nakhon Ratchasima sementara satu tan ganja disita dalam kes kedua dua hari lalu di Lop Buri, katanya menambah empat orang ditahan. – BERNAMA

