“INILAH ajaran pembangkang khususnya DAP. Apabila mereka berkuasa, maka kini mereka mula ‘naik tocang’ di Melaka,” ujar Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Ridwan Mohd. Ali.
Beliau dipetik portal UMNO Online mengulas mengenai video tular membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee yang juga merupakan Timbalan Pengerusi DAP Melaka.
Mengulas lebih lanjut, Mohd. Ridwan mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama pemimpin DAP bersikap biadab malahan kurang ajar kerana ketika menjadi pembangkang sebelum ini, mereka sudah bersikap samseng sedemikian.
“Jadi, apabila mereka sudah berkuasa, mereka tidak pandai untuk menggunakan budi bicara bagi menyelesaikan masalah. Kita bukan mempertikaikan keputusan dibuat beliau tetapi sikap biadabnya itu yang menjadi isu utama.
“Seharusnya sebagai seorang Yang Berhormat (YB), beliau harus menggunakan budi bicara dan jadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah. Beliau seharusnya sedar, jawatannya itu adalah pilihan rakyat,” ujar Mohd. Ridwan.
Justeru tambah beliau, rakyat kini seharusnya sudah dapat menilai yang mana kaca dan yang mana permata ekoran sikap YB berkenaan setelah menang kerusi majoriti Melayu tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
“Inilah akibat jika salah pilih dan memilih kerana sentimen. Jika dulu hanya keburukan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dipandang sehingga rakyat mahu perubahan, tetapi kini adakah perubahan yang diharap itu jadi kenyataan?
“Saya mengaku UMNO dan BN bukanlah parti yang sempurna tetapi jika kita mahukan perubahan, seharusnya kita pilih yang lebih baik dan bukannya yang lebih buruk. Sebab itu kita tidak boleh memilih hanya kerana emosi.
“Kita harus memilih seseorang yang benar-benar layak untuk disandarkan harapan bawa suara rakyat. Kini, mahu tidak mahu kita terpaksa menerima hakikat inilah wakil rakyat yang anda semua pilih,” ujar Mohd. Ridwan lagi.
Semalam tular menerusi media sosial mengenai sikap biadab Norhizam melayani para penduduk kampung dengan suara tinggi dan kata-kata yang tidak wajar ekoran isu jalan pintas menuju ke masjid di Taman Akasia, Melaka.
Cara Norhizam yang dianggap seperti samseng itu menjadi kecaman rakyat. Ini bukan kali pertama video Norhizam berlagak samseng menjadi tular. Sebelum ini pada 29 Ogos lalu Norhizam pernah mengundang kemarahan netizen.
Beliau dikutuk kerana bertindak biadab menyerbu tempat simpanan baja untuk kegunaan orang kampung selain mendakwa mereka kononnya menyorok dan menyimpan baja subsidi kerajaan BN. – Agensi/Mynewshub.TV

