BONGKAR… Rakyat kini berada dalam situasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) naikkan cukai tetapi kurangkan bantuan rakyat, buang pekerja sektor awam dan menghilangkan kerja di sektor swasta.
Mereka malahan bijak mencari alasan dan menyalahkan orang lain untuk segala permasalahan semasa daripada cuba mencari penyelesaian terbaik, dedah Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan gempar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir semalam yang menyatakan bahawa Kerajaan PH akan memperkenalkan cukai baharu berbanding memansuhkan cukai sedia ada.
“Ini ialah resipi malapetaka kepada ekonomi negara. Saya bahkan telah jangka perkara ini beberapa bulan lalu. Saya berpendapat ini adalah satu lagi dasar yang bakal memudaratkan rakyat oleh pihak kerajaan baharu,” katanya.
Jelasnya dalam satu kenyataan hari ini, apabila ekonomi tidak baik, kerajaan PH sepatutnya menurunkan cukai untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan bukannya menaikkan cukai atau memperkenalkan cukai baharu.
“Alasan hutang negara RM1 trilion telah terbukti tidak benar dan tidak munasabah oleh pakar-pakar ekonomi dari dalam dan luar negeri. Hutang negara kita yang sebenar adalah jauh lebih rendah iaitu paras kurang RM700 bilion.
“Ia hanya bersamaan 50 peratus dari pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan pengiraan piawaian antarabangsa. Apabila cukai dinaikkan dan cukai baharu diperkenalkan, ianya akan membebankan peniaga mahupun pengguna.
“Cukai ini akan tingkat kos untuk perniagaan dan juga kurangkan pembelian barangan oleh pengguna yang terkesan apabila harga barang meningkat akibat cukai. Apabila pengguna tidak beli barang, peniaga juga tidak dapat untung.
“Ekonomi Malaysia kini menuju ke bawah akibat dasar kerajaan baharu ini. Pelbagai petunjuk ekonomi semasa membuktikan senario ini,” ujarnya merujuk jumlah dagangan global menurun dan ekonomi domestik juga tergugat.
Sektor pembuatan yang berkembang pada paras lima peratus pada tahun lalu, tiba-tiba jatuh kepada paras tiga peratus kini. Sektor pembinaan pula jatuh daripada paras perkembangan 7% tahun lalu kepada paras 4% kini.
Unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini juga telah turun daripada 6% kepada hanya 4%. Setiap 1% penurunan pertumbuhan ekonomi akan mengakibatkan anggaran 100,000 orang kehilangan peluang pekerjaan.
“Hal ini diterukkan lagi dengan kehilangan kerja sedia ada oleh berpuluh-puluh ribu pekerja di sektor swasta akibat pembatalan atau kaji semula projek-projek infrastruktur mega seperti ECRL, HSR dan MRT oleh Kerajaan PH.
“Mereka dijangka kurang perbelanjaan kepada rakyat dalam Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada bulan depan. Pada tahun lalu, Kerajaan Barisan Nasional (BN) memperuntukkan RM280 bilion untuk rakyat dalam Bajet 2018.
“Pada tahun ini, adalah dijangka peruntukkan ini akan dipotong sebanyak sekurang-kurangnya RM10 bilion. Jumlah ini adalah lebih kurang bersamaan dengan anggaran jumlah ketirisan akibat pelaksanaan semula SST.
“Ianya juga adalah lebih kurang bersamaan dengan jumlah perbelanjaan bantuan untuk rakyat melalui BR1M oleh kerajaan BN dahulu. Bantuan-bantuan dan peruntukan-peruntukan lain juga akan dipotong.
“Ini termasuk kenaikan gaji dan elaun penjawat awam. Apabila ditanya kepada kerajaan kini, jawapan mereka ialah ini semua konon salah kerajaan dahulu,” bidasnya lagi dalam nada sindiran. – Agensi/Mynewshub.TV

