ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih Home United, Singapura, Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih baharu skuad Hijau Kuning bagi menghadapi saingan Liga Malaysia tahun depan.
Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya kini dalam peringkat rundingan terakhir sebelum mengikat kontrak dengan Aidil Sharin.
Katanya, KFA turut mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih Piala Presiden, Victor Andrag sebagai penolong jurulatih.
“KFA yakin dengan gandingan Aidil Sharin dan Victor Andrag akan mengembalikan kegemilangan skuad Helang Merah pada musim depan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Eksekutif KFA di sini hari ini.
Skuad Lang Merah gagal melepasi saingan peringkat Kumpulan C Piala Malaysia musim ini menggunakan khidmat tiga jurulatih iaitu Ramon Marcote, Mohd. Nidzam Adzha Yusof dan Azzmi Abd. Aziz.
Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Aidil Sharin dan Victor yang masing-masing berusia 41 tahun diyakini mampu membawa pembaharuan dalam pasukan Kedah terutama membabitkan barisan pemain yang bakal ditentukan kelak.
“Ketua Jurulatih yang baharu ini akan diberi mandat sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan termasuk memilih dan mencadangkan barisan pemain baharu termasuk pemain import baharu dan yang sedia ada.
“Apa sahaja keputusan yang akan dibuat Ketua Jurulatih mengenai barisan pemain akan ditimbangkan secara positif oleh Jawatankuasa Eksekutif,” jelasnya.
Beliau menambah, setakat ini, pasukan tersebut mempunyai lima pemain yang masih mempunyai baki kontrak sehingga hujung 2019 manakala kontrak pemain yang lain akan tamat musim ini. – UTUSAN ONLINE