Seorang wanita yang juga bekas eksekutif syarikat penerbangan nasional Korea Selatan, Korean Air iaitu Heather Cho dijatuhi hukuman penjara setahun kerana melanggar keselamatan penerbangan.
Mahkamah mendapati Cho bersalah dalam satu insiden ketegangan apabila dia mengarahkan penerbangan di New York berpatah balik ke pintu perlepasan dan menurunkan ketua pramugari hanya kerana tidak berpuas hati dengan cara individu itu menghidangkan kacang kepadanya.
Cho yang juga dikenali sebagai Cho Hyun-ah merupakan anak kepada pemilik penerbangan tersebut, Cho Yang-ho.
[ARTIKEL TERDAHULU: Anak Presiden Korean Air Naik Berang Kerana Kacang!]
Hakim Oh Sung-woo menyimpulkan insiden memalukan itu sebagai maruah seorang individu yang dipijak-pijak.
Selepas beberapa hari insiden tersebut dihebahkan di media pada Disember lalu, Cho membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menurut kronologi kes, Cho yang menaiki penerbangan kelas pertama dari Lapangan Terbang JFK, New York pada 5 Disember lalu, naik berang apabila dia dihidangkan dengan kacang macademia yang masih dibungkus dan tidak diletakkan di dalam mangkuk.
Lantas itu, dia memaksa penerbangan yang baru hendak berlepas itu berpatah balik dan menurunkan ketua pramugari tersebut.
Ujar hakim, perilaku yang ditunjukkan Cho menggambarkan seolah-olah dia sedang menaiki pesawat persendirian.
Kejadian tersebut menyebabkan penerbangan menuju Incheon tertunda selama 20 minit.
Menurut laporan berita juga, ketua pramugari itu dipaksa melutut dan memohon maaf kepada Cho sebelum dia diarah turun. – MYNEWSHUB
Laporan Berita Heather Cho Dijatuhi Hukuman Penjara Setahun Kerana Isu ‘Kacang’
https://www.youtube.com/watch?v=tAxG-nmbCI4


