BONGKAR… Calon PAS menyifatkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tidak menunjukkan kesungguhan untuk cuba membela nasib anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar pada ceramah kelompok Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Taman Intan Perdana malam tadi mendakwa ia berlaku meskipun Presiden PAN itu tahu isu tersebut.
Menurutnya, semasa pernah berada di dalam PAS, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan beliau sendiri telah bergerak ke seluruh negara bagi temui warga ATM untuk selami isu yang dihadapi golongan tersebut.
Bagaimanapun ujarnya, selepas dilantik sebagai menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), Mohamad tiada kesungguhan untuk bela nasib tentera dan veteran walhal beliau lantang kritik Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Dulu dia (Mohamad) jerit dan mengkritik kerajaan BN, hari ini dia sudah jadi menteri dan kena tunaikan janji kepada anggota dan veteran tentera. Dia minta undi tentera dan kata BN konon zalim, tapi hari ini dia sama saja.
“Dua kali lima. Saya terkilan, sepatutnya ada perancangan dan macam-macam boleh dibuat,” tegas Mohd. Nazari dalam nada kesal ketika bongkar perwatakan tokoh PH itu selepas keluar daripada PAS untuk menubuhkan PAN.
Mengulas lanjut beliau berkata, salah satu isu yang diperjuangkannya adalah memastikan setiap anggota tentera dan isteri mereka layak terima dua lot tanah kediaman dan lapan hektar tanah pertanian selepas tamat perkhidmatan.
Ia bahkan memang terkandung di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera 1973 malah sekiranya perkara tersebut berjaya dilaksanakan, sudah tentu dapat menjamin kebajikan anggota tentera dan keluarga yang hidup susah.
Mohd. Nazari yang juga Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat) itu berkata, pemberian tanah tersebut sekali gus membolehkan mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih bersemangat dan taat setia.
“Ia sudah dilaksanakan di Bangladesh, setiap askar dapat satu hektar tanah. Tanah mereka didirikan kondominium dan setiap anggota dapat lima hingga enam unit rumah. Mereka tidak prnah keluh walaupun gaji di sana rendah.
“Ini kerana mereka tahu isu kebajikan dijaga oleh menteri pertahanan,” kata Mohd. Nazari. Ujarnya, banyak tanah di seluruh negara terutama kawasan Felda boleh diagih kepada veteran tentera untuk dimaju dan dibina kediaman.
Justeru Mohd. Nazari berkata, sekiranya dipilih sebagai ahli Parlimen, beliau akan membawa usul kepada kerajaan supaya membangunkan bandar baharu veteran tentera untuk didiami golongan itu. – Agensi/Mynewshub.TV

