JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan RM82 juta di bawah Kumpulan Wang Perkhidmatan Kemajuan (ISF) bagi melaksanakan pembangunan pelbagai projek infrastruktur dalam kawasan MBJB.
Datuk Bandar MBJB Amran A Rahman berkata projek berkenaan terdiri daripada 18 projek infrastruktur berimpak tinggi yang merangkumi projek-projek mengatasi masalah banjir, kesesakan lalu lintas dan projek-projek meningkatkan keselamatan serta keselesaan warga bandaraya Johor Bahru.
“Kesemua projek pembangunan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dari tahun ini sehingga tahun 2020.
“Daripada 18 projek berkenaan, dua projek telahpun siap dilaksanakan iaitu projek menaiktaraf jalan dan perparitan di kawasan Kempas Denai dan projek menaiktaraf Jalan Tropika dari Taman Perindustrian Cemerlang ke Taman Bukit Tropika,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Bilangan 8 Tahun 2018 di Ibu Pejabat MBJB di sini, hari ini.
Tambahnya, sehingga kini, terdapat tujuh projek yang sedang dalam peringkat pembinaan di mana kemajuan kerja di tapak adalah di dalam lingkungan 70 hingga 85 peratus siap dan dijangka akan siap sepenuhnya pada akhir tahun 2018.
“Bagi projek-projek pembinaan selebihnya kini masih di dalam peringkat awal pembinaan dan dijangka disiapkan secara berperingkat pada tahun 2019 hingga 2020,” katanya.
Antara projek-projek yang dimaksudkan adalah pembinaan jejantas di Jalan Tun Abdul Razak dan Lebuhraya Pasir Gudang, pelebaran jalan Permas Utara dan penyelesaian masalah sistem lalulintas di jalan Permas Utara, menaiktaraf Jalan Utama dan Jalan Kebun Teh.
Selain itu, kerja-kerja menaiktaraf jalan dan perparitan di Taman Dato Onn dan Kampung Dato Onn juga akan dilakukan, pelebaran jalan di Jalan Kenangan Kampung Melayu Majidee, pelebaran Jalan Rahmat Kampung Melayu, mengatasi masalah kesesakan di Jalan Mutiara Emas Utama dan pembinaan persimpangan bertingkat di persimpangan Jalan Dato Onn Utama dan Jalan Bukit Mutiara.
“Bagi projek pembinaan persimpangan bertingkat di persimpangan Jalan Dato Onn Utama dan Jalan Bukit Mutiara, ia telahpun dimulakan pada 15 Julai 2018 dan dijangka siap sepenuhnya pada 14 Julai 2020 dengan kos projek sebanyak RM31 juta.
“Ia akan melibatkan pembinaan pusingan-U bertingkat, pelebaran jambatan Sungai Tebrau daripada dua lorong kepada tiga lorong dua hala, pelebaran jalan, pengalihan paip Syarikat Air Johor, kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia selain menaiktaraf kawasan perparitan sediada,” jelasnya. – BERNAMA
