KLUANG – Seorang lelaki cedera parah akibat ditetak dengan parang oleh dua individu yang tidak dikenali di kediamannya di Kampung Siam, Layang-Layang, dekat sini, awal pagi semalam, kata Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail.
Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira 1 pagi ketika mangsa yang berumur 48 tahun sedang tidur di dalam bilik di rumahnya.
“Dua lelaki yang tidak dikenali bersenjatakan parang tiba-tiba menetak mangsa beberapa kali di bahagian kepala dan badan.
“Setelah isteri mangsa menjerit, suspek melarikan diri melalui pintu belakang rumah sebelum wanita itu memaklumkan kejadian tersebut kepada abang iparnya yang terus memaklumkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom Kluang untuk rawatan.
Mohd Abduh berkata dua suspek lelaki berumur 29 dan 30 tahun ditahan di hadapan sebuah premis perniagaan di Jalan Bunga Raya 1, Pekan Baru, Layang-Layang, kira-kira 1 tengah hari semalam, iaitu dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
Katanya polis turut merampas sebilah parang berhulu berukuran kira-kira 27 inci panjang dan dua helai baju T-Shirt daripada suspek.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

