KUALA LUMPUR – Sapura Energy Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM126.05 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2018 berbanding keuntungan bersih RM28.92 juta pada tempoh sama setahun yang lalu, sejajar dengan pendapatannya yang lebih rendah.
Untuk tempoh kajian, pendapatannya susut kepada RM1.25 bilion, 23.9 peratus lebih rendah berbanding RM1.65 bilion yang dicatat pada tempoh sama sebelumnya.
“Penurunan pendapatan itu disebabkan oleh sumbangan pendapatan yang lebih rendah daripada segmen perniagaan dan kejuruteraan pembinaan dan penggerudian,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Dalam satu kenyataan berasingan, Sapura Energy berkata, berkata prestasi pada tempoh kajian itu adalah sejajar dengan jangkaan dan kejayaan meraih kontrak baru-baru ini masih berada di peringkat awal pelaksanaan.
“Kapal utama kumpulan berada di antara projek kerana mereka sedang digerakkan untuk kerja baharu. Oleh kerana projek-projek ini bergerak dari fasa kejuruteraan dan perolehan ke fasa pembinaan dan fasa pembinaan luar pesisir, kami menjangkakan akan melihat peningkatan dalam penggunaan aset,” katanya.
Sapura Energy juga secara aktif meneroka ke lebih banyak pasaran di kawasan utama, termasuk Asia Barat, Afrika, Amerika Latin, Caspian dan Mediterranean, serta Asia Tenggara dan Australia.
Setakat ini, kumpulan itu telah berjaya meraih kontrak bernilai RM5.3 bilion membabitkan kejuruteraan dan pembinaannya serta perniagaan penggerudian, menjadikan jumlah kontrak dalam tangan sebanyak RM16.9 bilion.
“Jumlah kontrak dalam tangan yang semakin berkembang ini memberikan gambaran masa depan kumpulan yang akan diterjemahkan ke dalam penggunaan aset kumpulan yang lebih tinggi dan peningkatan pendapatan,” katanya.
Sementara itu, bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai 2018, Sapura Energy mencatatkan pendapatan berjumlah RM2.3 bilion berbanding RM3.4 bilion yang dicatat pada tempoh sama sebelumnya.
Ini terutamanya disebabkan penurunan dalam pendapatan berikutan penurunan aktiviti dan penggunaan aset dalam segmen perkhidmatan.
“Pendapatan untuk penerokaan dan pengeluaran telah menunjukkan peningkatan hasil daripada kenaikan harga minyak dan gas yang lebih tinggi dalam tempoh semasa.
“Di tengah-tengah harga minyak yang berterusan meningkat yang mendorong peningkatan aktiviti dalam industri di seluruh dunia, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pemulihan dalam industri,” katanya. – BH Online

