MELAKA – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap sepasang kekasih yang didapati bersalah membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Siti Khadijah S. Hassan Barjenid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Nur Fatihah Saqira Mohd. Tahir dan Firdaus Abdul Karim, masing-masing berusia 22 tahun bagaimanapun kelihatan tenang mendengar keputusan tersebut.
Siti Khadijah dalam penghakimannya berkata, beliau tidak menerima pengakuan dan penjelasan daripada kedua-dua tertuduh dan disabitkan bersalah seperti mana dalam pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama membunuh Muhammad Azzad Suhani Hilalluddin yang ketika itu berusia 27 tahun di Jalan BMU 2 hingga ke kolam loji kumbahan, Bandar Baru Merlimau Utara, Jasin.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh kedua-duanya antara pukul 11.30 malam 31 Disember 2014 hingga pukul 1 pagi, 1 Januari 2015.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad dan Shazreen Nadia Saaban manakala tertuduh masing-masing diwakili Peguam LK Tiew dan Mak Kah Keong. – UTUSAN ONLINE

