TAIPING – Polis menahan sembilan lelaki bagi bantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir dalam kejadian di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan Taman Tekkah Permai, Aulong sejak 18 hingga 25 September lepas.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Taib berkata suspek berumur 15 hingga 17 tahun itu ditahan pada 9 hingga 11 malam tadi di rumah suspek di sini dan Kamunting, susulan laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Kamunting, semalam.
Beliau berkata kesemua suspek direman mulai hari ini sehingga 2 Oktober.
Mohamad berkata siasatan polis mendapati mangsa dan seorang rakan perempuannya pergi ke Taman Tasik Taiping dan mereka dijemput dua lelaki yang menaiki motosikal pada 11 pagi, 18 September lepas.
“Dua lelaki itu membawa mangsa ke rumah seorang suspek di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan seorang lagi rakan suspek yang berada di rumah itu menarik mangsa lalu merogolnya. Dua lelaki itu turut merogol mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini hari ini.
Katanya mangsa sekali lagi dirogol bergilir-gilir lapan lelaki di Kampung Kurnia Jaya pada 19 September, dan 25 September di Taman Tekkah Permai.
Beliau berkata doktor yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa mendapati alat sulit remaja perempuan itu mengalami kesan koyakan lama.
Katanya siasatan polis mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes rogol, mendatangkan kecederaan parah dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Mohamad berkata polis sedang mengesan rakan mangsa itu serta dua lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.
Dalam kes berlainan, Mohamad berkata polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dan merampas 1.311 gram heroin serta syabu seberat 35 gram bernilai RM46,500 dalam serbuan di sebuah rumah sewa di kawasan Simpang di sini, semalam.
Beliau berkata dalam serbuan pada 6.45 petang itu, polis menemui dadah tersebut yang siap dibungkus dalam tiga plastik hitam di atas meja makan di rumah berkenaan.
“Selain dadah, polis merampas sebuah kereta Proton Persona, sebuah motosikal jenis Yamaha LC dan seutas rantai emas bernilai RM24,700,” katanya, sambil menambah kes itu adalah tangkapan dadah terbesar berjaya diselesaikan polis daerah berkenaan dalam tempoh dua tahun ini.
Mohamad berkata siasatan mendapati penganggur itu tinggal bersama ibunya di rumah berlainan manakala rumah sewa tersebut dijadikan tempat membungkus dadah agar tidak diketahui wanita berkenaan.
Beliau berkata suspek ditahan reman enam hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

