LAWAS – Nasib malang menimpa dua guru ketika dalam perjalanan menghantar kertas jawapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selepas peperiksaan apabila terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Bukit Suling, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Arrzahara Affendi, 28, maut selepas kereta Perodua Myvi dipandu rakan setugasnya tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terbakar di Jalan Bukit Suling di sini.
Mangsa menghembuskan nafas terakhir di Hospital Lawas semasa menerima rawatan kira-kira pukul 2.20 petang, namun guru lelaki berusia 24 tahun yang memandu kereta hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah , Deputi Superitenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sebelum kejadian, kedua-dua guru terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan menghantar kertas jawapan UPSR dari arah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Trusan menuju ke Wisma Persekutuan di sini.
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain tetapi dipercayai akibat kereta dipandu oleh guru lelaki tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

