KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan mencontohi Pakatan Harapan (PH) yang membangkang semua perkara demi kepentingan politik mereka sewaktu menjadi pembangkang.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, PH sebagai pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan membangkang apa sahaja walaupun ia perkara yang baik oleh kerajaan BN.
“Dulu pembangkang membangkang semua perkara. Bangkang “for the sake of membangkang” hatta perkara yang baik pun ditolak. Amalan seperti ini harus ditolak. Negara dan Rakyat didahulukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian berikutan propaganda yang disebarkan kononnya kerajaan “Malaysia Baharu” PH tidak dapat berbuat apa-apa buat masa ini bagi perkara yang memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen.
Annuar berkata, alasan itu tidak wajar kerana bagi UMNO dan BN, pembangkang mesti bersedia menyokong kerajaan mendapatkan sokongan dua pertiga di Parlimen jika ia melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
Jelasnya, BN dan PH mungkin daripada parti yang berbeza, namun perbezaan itu tidak harus menghalang kebersamaan kedua-dua pihak dalam perkara berkepentingan nasional.
“Kiranya perkara itu baik bagi rakyat dan negara, pembangkang harus bersedia membantu Perdana Menteri merealisasikan visinya,” katanya.
Beliau memberi contoh dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 yang merupakan perkara sangat asas dan penting bukan saja kepada Sabah dan Serawak, tetapi Malaysia secara keseluruhan.
“Kita berharap dalam hal ini Perdana Menteri dapat memandu arah satu perbincangan dalam kalangan Ahli Parlimen agar isu MA 63 dapat kita tangani bersama,” katanya. – MYNEWSHUB.TV

