TEMERLOH – Ikon fesyen, Wak Doyok hari ini menyertai Parti Amanah Negara (PAN) walaupun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu kerap dilihat hadiri program bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penyertaannya dalam parti itu diumumkan Naib Presiden PAN, Datuk Mahfuz Omar yang juga pengerusi kempen keanggotaan parti itu sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga PAN di Dewan Tun Razak di sini hari ini.
Turut diumumkan menyertai parti itu termasuk tokoh pendakwah terkenal, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.
Sementara itu Wak Doyok, 39, atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, yang berasal dari Klang, Selangor berkata dia sebelum ini merupakan anggota parti PAS sejak 1997 lagi.
“Namun saya mula berminat menyertai menyertai PAN setelah melihat ia lebih terbuka dan memperjuangkan konsep Islam untuk semua sehingga ramai golongan profesional sama ada Melayu dan bukan Melayu menyertainya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya menerusi penglibatan di dalam parti itu, beliau berharap dapat memperjuangkan kebajikan ekonomi golongan belia sesuai dengan perlantikannya sebagai ikon Majlis Tindakan Ekonomi Belia Malaysia sebelum ini. – BERNAMA