SINIS… Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi melontarkan soalan cepumas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin: Sudahkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) buat mesyuarat cawangan dan bahagian bagi tahun ini?
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu dalam nada sinis seterusnya berharap agar perkara pelik seperti tahun lepas tidak berulang apabila PPBM cuma mampu adakan mesyuarat agung tahunan (AGM) di peringkat pusat sahaja.
Tambah aneh kata Puad lagi menerusi catatan dalam laman sosial Facebooknya, dari mana datangnya perwakilan yang hadir ke peringkat pusat tersebut jika AGM di peringkat bahagian dan cawangan pun tidak pernah diadakan.
Beliau beri maklum balas itu rentetan sindiran Ahli Parlimen Pagoh tersebut memperkecilkan UMNO yang tetap mengadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi tahun ini, yang bakal berlangsung pada hujung bulan ini.
Muhyiddin dilaporkan apabila ditanya pemberita sebuah portal, sempena PAU pada 29 hingga 30 September ini, dengan angkuh berkata: “Oh, ada lagi PAU? Ingatkan sudah tapau!” yang merujuk maksud bungkus atau tutup.
“Ya Tan Sri, UMNO tetap ada PAU. UMNO masih ada 51 kerusi Parlimen. UMNO berjaya mengadakan persidangan cawangan dan bahagian 2018 dengan jayanya. Sebab itu PAU diadakan. Payahlah sikit kalau nak haramkan UMNO.
“Tidak seperti PPBM, tahun lalu mengadakan perhimpunan agung, tetapi mesyuarat cawangan dan bahagian tidak diadakan. Maka mana datangnya perwakilan? Tahun ini AGM cawangan dan bahagian PPBM sudah buat ke belum?
“Jangan nanti tiba-tiba ada Perhimpunan Agung PPBM pula. Tetapi kuasa kan ada di tangan (Tun) Mahathir (Mohamad). Apa-apa boleh dibuat. Mana ada ‘Rule of Law’,” sinis Puad merujuk perdana menteri berkenaan.
Ia ekoran tindakan dramatik kerajaan Pakatan Harapan yang mengarahkan kelulusan pendaftaran PPBM waima parti dengan 11 kerusi di Parlimen itu gagal buat AGM peringkat cawangan dan bahagian sepanjang tahun lepas.
Puad dalam pada itu juga tetap berjiwa besar apabila mengambil kesempatan dengan mendoakan agar Menteri Dalam Negeri tersebut cepat sembuh dan dapat kembali bertugas demi negara. – Agensi/Mynewshub.TV

