KUALA LUMPUR – Warganegara yang memohon jawatan Inspektor Polis Gred YA13 (Lelaki), Konstabel Polis YA1 (Lelaki dan Wanita) serta Konstabel Polis Gred YT1 (Lelaki) boleh membuat semakan kelayakan menghadiri ekesais ujian pemeriksaan fizikal.
Pemohon yang membuat permohonan melalui sistem pendaftaran pekerjaan dalam portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA8i) dikehendaki membuat semakan itu di laman sesawang Sistem Semakan Online (SSO) PDRM di http://sso.rmp.gov.my dari 12 Sept ini sehingga 15 Okt depan.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara Datuk Asmawati Ahmad berkata hanya calon-calon yang menepati syarat ditetapkan PDRM akan disenaraikan dalam sistem SSO PDRM dan layak untuk hadir ke eksesais ujian pemeriksaan fizikal berdasarkan tarikh dan lokasi yang dinyatakan dalam sistem berkenaan.
“Tiada ujian pemeriksaan fizikal terbuka akan diadakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Asmawati berkata calon yang terpilih perlu mencetak surat panggilan eksesais ujian pemeriksaan fizikal dan menyediakan semua keperluan yang dinyatakan dalam sistem itu semasa menghadiri eksesais terbabit.
Sebarang pertanyaan dan maklumat balas boleh diajukan terus ke Unit Pengambilan, Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan PDRM di talian 03-22668346 atau emel ke [email protected]. – BERNAMA

