MYANMAR dijangka akan menjadi semakin panas ekoran perhatian kuasa besar Amerika Syarikat yang semakin tertumpu di negara Asia Tenggara itu.
Semalam, Naib Presiden AS Mike Pence mengecam kerajaan Myanmar atas hukuman penjara dua wartawan Reuters yang didapati bersalah mendedahkan rahsia negara.
Pence mendesak kerajaan Myanmar membebaskan dua orang wartawan itu.
Wartawan terbabit menyiasat kekejaman yang dilakukan oleh pihak keselamatan Myanmar terhadap minoriti Rohingya.
Turut mengecam Myanmar ialah Duta AS ke PBB, Nikki Haley, yang mengatakan kes ini menunjukkan kerajaan negara itu tidak menghormati kebebasan media.
Haley telah lama bersuara dengan keras terhadap kerajaan Myanmar sejak beberapa bulan lalu di PBB.
Perhatian dari kuasa besar AS yang juga ahli Majlis Keselamatan PBB ini boleh menimbulkan masalah lagi kepada Myanmar sekiranya tindakan lanjut diambil.
Satu motif AS dalam hal ini ialah untuk menekan Myanmar yang merupakan sekutu rapat China, dan lokasi projek untuk memenuhi perancangan Beijing mengukuhkan pengaruh di kawasan dikenali Indo-Pasifik.
Indo-Pasifik meliputi negara-negara yang mempunyai akses ke Lautan Hindi, hingga ke kawasan Lautan Pasifik yang berdekatan China.
Myanmar ialah salah satu sumber komoditi utama untuk China, dan laluan penting China untuk sampai ke Lautan Hindi di utara Selat Melaka.
China membina saluran paip membawa bekalan minyak dan gas merentasi Myanmar ke wilayah China.
Kepentingan Myanmar kepada China ini menjadi satu sebab paling utama tekanan dikenakan ke atas Myanmar.
Bagaimanapun, AS boleh menghentikan tekanan ke atas Myanmar sekiranya kerajaannya menghentikan projek-projek penting China yang sedang berjalan dan meneruskan hubungan politik lebih rapat dengan Washington. – Mynewshub.tv

