PENYANYI Lana Del Rey menjadi artis terbaru dilanda kontroversi kerana berhasrat membuat persembahan di Israel.
Ekoran kecaman peminat dan kumpulan penentang kekejaman Israel, penyanyi itu membatalkan konsertnya yang dijadual minggu depan.
Beliau dalam satu catatan di Twitter memberi alasan mahu memberi layanan saksama kepada peminat di Palestin dan Israel.
Katanya, beliau berhasrat untuk “mengadakan lawatan untuk peminat-peminat di Israel dan Palestin” pada masa depan.
Lana pada mulanya mempertahankan konsert itu, mendakwa “membuat persembahan di Tel Aviv bukan satu kenyataan politik atau pun komitmen pada politik di sana.”
Dalam satu catatan lain di Twitter, beliau berkata “Saya bukan seorang agen pelancongan mempromosikan negara-negara yang saya lawati.”
Lana membatalkan satu konsert di Israel pada 2014 ekoran perang antara Israel dengan kumpulan Palestin di Gaza.
Kumpulan aktivis The Palestinian Campaign for the Academic and Cultural Boycott of Israel (Pacbi) menyambut baik keputusan Lana membatalkan persembahan di Israel minggu depan.
“Terima kasih atas keputusan berprinsip anda” kata kumpulan itu.
Pacbi ialah sebahagian daripada gerakan Boycott, Divestment & Sanctions (BDS) yang mensasarkan boikot sepenuhnya terhadap Israel atas tindakan kejamnya terhadap Palestin.
Israel mengutuk BDS yang didakwa menentang kewujudan Israel dan didorong sikap anti-Yahudi.
Sebelum ini, artis seperti Lorde dan Radiohead turut dikritik kerana mahu mengadakan persembahan di Israel.
Lorde membatalkan persembahan yang dijadualkan manakala Radiohead meneruskan pertunjukan dan mencetuskan kecaman lebih banyak pihak. – Agensi/Mynewshub.tv

