OLEH MYNEWSHUB
PARIS – Kerajaan Perancis secara rasmi mengharamkan Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir daripada memasuki wilayah negara itu berkuat kuasa serta-merta susulan kontroversi membabitkan layanan terhadap aktivis flotila bantuan kemanusiaan menuju Gaza.
Keputusan tersebut diumumkan Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot yang menyifatkan tindakan Ben-Gvir terhadap aktivis flotila Global Sumud sebagai “tidak boleh diterima”.
Menurut laporan media antarabangsa, Perancis bertindak selepas video yang dimuat naik Ben-Gvir menunjukkan aktivis flotila ditahan dalam keadaan tangan diikat serta dipaksa melutut selepas kapal mereka dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa.
Barrot berkata, walaupun Perancis tidak menyokong pendekatan flotila tersebut, rakyat Perancis dan warga Eropah yang terlibat tetap perlu dilayan dengan hormat dan bermaruah.
“Mulai hari ini, Itamar Ben-Gvir dilarang memasuki wilayah Perancis,” katanya menerusi kenyataan di platform X.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perancis bersama Itali kini menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya mengenakan sekatan terhadap Ben-Gvir susulan insiden berkenaan.
Sebelum ini, beberapa negara termasuk Perancis, Ireland dan Sepanyol mengecam tindakan Israel terhadap aktivis flotila Global Sumud yang cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Malah, laporan turut menyebut beberapa diplomat Israel dipanggil oleh negara-negara Eropah bagi memberikan penjelasan berhubung video tular yang menunjukkan aktivis diperlakukan secara kasar ketika ditahan.
Tindakan Perancis itu dilihat sebagai antara langkah paling keras diambil sebuah negara Eropah terhadap pegawai kanan Israel sejak perang di Gaza tercetus.- MYNEWSHUB


