KUANTAN – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh berhubung tindakan beberapa individu yang melakukan ugutan jenayah terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu.
Ketua Pergerakan Pemuda KIMMA negeri Pahang Zuber Mydin berkata ugutan bunuh terhadap Anggota Parlimen Bera di laman sosial Facebook itu dilihat tidak wajar dan tidak bertamadun pada masa kini.
Beliau berkata ini kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum yang telah lama hidup dalam suasana harmoni dan ugutan berkenaan hanya menimbulkan situasi tegang di negara ini.
Beliau selaku wakil Kimma negeri Pahang meminta polis segera mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang terlibat dalam membuat ugutan bunuh ini.
“Boleh dikatakan, ia berupaya mewujudkan krisis perkauman di negara kita yang berperlembagaan serta berdaulat. Sehubungan itu Kimma mengambil inisiatif membuat laporan polis pukul 9.30 malam semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baru-baru ini, kenyataan Ismail Sabri yang meminta rakyat memboikot pemborong dan peniaga yang enggan menurunkan harga barangan, menerima pelbagai reaksi termasuk ada yang membuat ugutan bunuh terhadap Anggota Parlimen Bera itu. – BERNAMA

