SHAH ALAM – Lawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke i-City di ambang sambutan Hari Kebangsaan pada 30 Ogos adalah membangkitkan nostalgia akan kenangan yang lalu.
Ketua Umum Pakatan Harapan merasmikan projek di kawasan seluas 29 hektar terletak di Lebuhraya Persekutuan itu ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri pada 1997.
“Lawatan kali kedua semasa di ambang sambutan Hari kebangsaan di i-City pada 30 Ogos adalah seperti membangkitkan kenangan lama selepas 21 tahun.
“Kami gembira bahawa Anwar dijadual merasmikan sambutan hitungan detik di ambang Kemerdekaan yang dijangka dihadiri oleh lebih 40,000 orang.
“Saya menjangka jumlah mereka yang melawat i-City untuk sambutan hitungan detik pada 30 Ogos ialah dua kali ganda daripada 20,000 tahun sebelumnya kepada 40,000 orang kali ini kerana kehadiran Anwar yang boleh menjadi faktor tarikan,” kata Pengerusi Eksekutif I-Bhd Tan Sri Lim Kim Hong kepada Bernama dalam temubual eksklusif di i-City di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang.
Lim berkata Anwar ialah seorang pemimpin yang berwawasan kerana beliau ingin melihat i-City menjadi bandar teknologi nombor 1 negara dan antara bandar pintar pertama di negara ini.
Beliau juga berkata i-City akan menyambut Hari Kebangsaan 2018 dengan pertunjukan bunga api yang menakjubkan pada tengah malam selain menganjurkan pelbagai acara dan aktiviti kebudayaan.
Orang ramai yang mengunjungi muzium lilin interaktif Red Carpet i-City dapat menyaksikan detik apabila Bapa Kemerdekaan Malaysia dan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan ketika negara bergembira menyambut perayaan Hari Kebangsaan.
“Detik yang menggambarkan Tunku mengisytiharkan Kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 1957 dipentaskan kembali di muzium lilin interaktif yang pertama di Malaysia.
“Bagi golongan muda Malaysia yang ingin menunjukkan cinta dan sayang mereka kepada negara, mereka boleh berbuat demikian dengan menyalakan tanglung langit – yang akan mengirim ucapan dan impian mereka untuk Malaysia apabila terbang di angkasa atau mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu kebangsaan – “Negaraku” pada detik tengah malam,” kata beliau.
Penyanyi veteran Datuk Mohamad Nasir Mohamad atau M. Nasir akan menyampaikan lagu-lagu untuk menghidupkan kembali kenangan Malaysia dan kepelbagaian budayanya pada ambang Hari Kebangsaan mulai jam 10.30 malam hingga tengah malam. – BERNAMA

