PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump menulis di Twitter menyokong pemilik motorsikal berkuasa tinggi Harley-Davidson yang merancang untuk memboikot syarikat itu.
Perkembangan ini berlaku semasa perang dagang berkaitan tarif sedang meningkat antara AS dengan China dan juga negara-negara sekutu.
Kata presiden AS itu, kebanyakan syarikat lain termasuk pesaing Harley bersetuju dengan keputusannya mengenakan tarif pada import besi keluli dan aluminium.
Pada Jun, Harley-Davidson berkata sebahagian produksinya akan dipindahkan ke luar AS untuk mengelakkan tarif balas dari Kesatuan Eropah (EU).
Trump telahpun mengecam tindakan itu sebelum ini, dan mengancam akan mengenakan cukai lebih tinggi terhadap syarikat itu.
Ketua eksekutif Harley, Matthew Levatich dalam satu wawancara dengan CNBC bulan lepas berkata syarikat itu memang mengutamakan AS, tetapi terpaksa membina kemudahan pembuatan di luar negara ekoran halangan-halangan berkaitan tarif.
Katanya, sejak 20 tahun lalu Harley telah melabur di luar kerana sukar untuk masuk ke sesetengah pasaran tanpa langkah ini.
Bulan lalu, Harley mengumumkan yang margin keuntungan mungkin merosot separuh tahun ini akibat kesan tarif.
Syarikat ini menjangka kos tambahan sebanyak AS$45-50 juta tahun ini akibat tarif EU.
Selain itu, peningkatan harga besi keluli dan aluminium juga menyumbang kepada peningkatan kos.
Jun lalu Harley mengumumkan akan memindahkan sebahagian produksi motorsikalnya ke luar AS untuk mengelak kesan tarif EU.
Harley mempunyai kilang di Australia, Brazil, India dan Thailand selain di AS.
Menurut Trump, tarif pada besi dan aluminium import perlu dikenakan tarif perlu untuk melindungi industri besi dan aluminium AS, yang penting kepada keselamatan nasional.
Tarif dikenakan Trump itu telah mengundang tindak balas dari EU, Kanada, Mexico, India dan beberapa negara lagi.
Pada masa yang sama, kos pembuatan melibatkan logam di AS turut meningkat.
AS turut mengancam untuk mengenakan tarif pada import China bernilai berbilion dolar, dan sebahagainnya sudah dilaksanakan.
Turut dirancang ialah tarif pada kereta dan alat ganti kenderaan import. – BBC