KUALA LUMPUR – Pelakon, Datin Paduka Eina Azman, tidak menyangka ungkapan spontan ‘done’ dalam video masakannya menjadi ikutan ramai.
Eina, 23, yang sering membuat perkongsian memasak dengan menyebut perkataan terbabit pada penghujung video berkata, dia gembira apabila ungkapan itu menjadi tular dan menarik minat ramai netizen untuk ke dapur.
Malah, beberapa video dimuat naik peminat yang mengikut cara sebutannya dikongsi semula oleh Eina menerusi laman sosialnya.
“Ungkapan ‘done’ itu terkeluar secara spontan setiap kali saya selesai memasak. Cuma saya tidak sangka gaya sebutan saya itu menjadi seperti satu ‘trend’ pula. Malah, ada yang mengajuk cara sebutan berkenaan serta menjadikannya bahan lawak.
“Namun, saya tidaklah terasa hati atau sebagainya, malah teruja apabila melihat ramai yang semakin berminat ke dapur. Jika sebelum ini saya mengehadkan akses pengikut akaun Instagram saya, namun kini saya menukarkannya kepada ‘mode’ umum.
“Gembira rasanya apabila ramai yang mencuba resipi yang saya kongsi di Instagram. Namun, biasalah ada juga yang turut meninggalkan komen negatif. Lagipun bukan semua orang menyukai kita. Setiap orang pula mempunyai resipi dan cara sendiri apabila memasak,” katanya.
Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman berkata, biarpun mempunyai pembantu rumah, sebagai isteri dia akan memastikan segala keperluan suami dan anak-anak diuruskan dengan sebaiknya, termasuk dalam penyediaan makanan serta pakaian mereka.
Eina mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah, pada 31 Ogos 2014.
Mereka dikurniakan sepasang kembar, Karl Kareef dan Arianna Aubrey, yang dilahirkan pada Februari 2016. – BH ONLINE

