TINDAKAN Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah menghentikan pusat antikeganasan tajaan Arab Saudi dan menarik tentera Malaysia yang terlibat dengan operasi di Yaman.
Dua tindakan ini ialah yang pertama dibuat melibatkan hubungan luar Malaysia dalam hal keselamatan dan pertahanan sejak kerajaan baharu ditubuhkan.
Menteri pertahanan sejak awal lagi telah kelihatan mensasarkan Arab Saudi melalui kenyataan-kenyataannya kepada media.
Mohamad diketahui umum mempunyai kecenderungan politik pro-Iran dan sering melawat negara itu dan Lubnan.
Beliau turut menyanjung pemimpin-pemimpin terkemuka Syiah di peringkat antarabangsa seperti Khomeini dan pemimpin gerakan Hizbullah, Hassan Nasrallah.
Malah Mohamad juga semasa masih bersama PAS didakwa mengikut ajaran Syiah walaupun beliau menafikan sekeras-kerasnya perkara ini.
Tindakan menarik tentera Malaysia dari operasi bersama Arab Saudi dan menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman ialah mesej yang jelas kepada Riyadh.
Mesej yang sampai pada Saudi ialah Malaysia sedia mengurangkan tahap hubungan baik dengan negara Arab itu.
Ini bermakna Malaysia pada masa yang sama menyampaikan mesej kepada Iran, seteru serantau Saudi yang Putrajaya sedia membina hubungan lebih baik dengan Tehran.
Ini bukan sekadar sangkaan atau persepsi kerana Mohamad sendiri telah menyampaikan mesej ini secara jelas.
Dalam dunia Islam, dua negara ini, Arab Saudi dan Iran ialah yang paling berpengaruh, selain Turki yang juga mempunyai pengaruh tersendiri.
Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan sudah menunjukkan keterbukaan terhadap pengikut Syiah, dan tindakan mengurangkan kerjasama dengan Saudi bermakna Iran bakal mengisi sebagai pengganti.
Maka dijangka tidak akan berlaku lagi serbuan ke atas markas-markas Syiah dan masyarakat Syiah dijangka akan dapat mengadakan aktiviti keagamaan dengan lebih terbuka.
Ini akan mengukuhkan hubungan baik Kuala Lumpur dengan Tehran, dan pengikut Syiah di Malaysia bakal mempunyai peluang untuk meluaskan aktiviti dengan kerjasama dengan kedutaan Iran di Kuala Lumpur.
Ini semua akan banyak mengubah kehidupan agama dan pentadbiran hal ehwal agama Islam di negara ini. – Mynewshub.tv

