IPOH – Seorang lelaki cuba membunuh diri bersama dua anak lelakinya dengan bertindak membuka injap tong gas LPG untuk membakar rumah kediamannya, di Kampung Jering, Ayer Tawar, kira-kira 60 kilometer, dari sini, hari ini.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat di sini berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 12.30 tengah diri tadi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, kami telah memujuk mangsa berumur lewat 30-an itu daripada percubaan membunuh diri. Sepasukan anggota bomba telah masuk dari bahagian belakang dengan mengumpil pintu belakang untuk menyelamatkan anak-anak lelaki itu masing-masing berusia tujuh dan lapan tahun.
“Mangsa berjaya dipujuk dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi menyelamat itu tamat pada 12.55 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini. – BERNAMA

