Lagu nyanyian Tomok, Tak Harus Memiliki, dipilih sebagai lagu tema bagi runut bunyi (OST) filem Isyarat Cinta.
Filem terbaru terbitan RK Screen ini membariskan pelakon-pelakon hebat separti Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar, dan bakal menemui penonton pada 19 Mac depan.
Lagu ciptaan GG 6ixth Sense ini sudah mula diputarkan di corong-corong radio sejak tahun lalu lagi sebagai langkah awal promosi filem tersebut.
Jika sebelum ini Tomok pernah menyumbangkan suara keemasannya untuk lagu-lagu tema filem Sejoli dan Istanbul Aku Datang, untuk filem ini beliau sekali lagi diberikan kepercayaan sebagai pelantun OST Isyarat Cinta.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana dipilih  untuk menyanyikan lagu tema filem Isyarat Cinta ini oleh Datuk Rosyam Nor sendiri selaku penerbit.
“Saya telah rakam lagu ini kira-kira setahun yang lalu. Bila dapat lagu daripada penciptanya, saya amat menyukai melodinya.”
“Sebab itulah saya terus menerima untuk menyanyikan lagu tersebut. Tambahan pula, liriknya memang bertepatan dengan jalan ceritanya. Saya harap lagu nyanyian saya dapat menyemarakkan lagi filem ini,” kata Tomok ketika ditemubual semasa pelancaran OST filem tersebut di Restoran Rebung, Bangsar, petang tadi.
Apabila ‘diusik’ dengan soalan nakal mengenai sejarahnya sebagai penyanyi lagu-lagu tangkap ‘leleh’ sejak zaman kegemilangannya bersama kumpulan New Boyz suatu ketika dahulu, Tomok akui bahawa dia tidak kisah digelar ‘Raja Leleh’ sekalipun.
“Saya telah menyanyikan lagu mendayu sejak  awal kerjaya lagi. Jadi, saya langsung tidak segan untuk menyanyikan lagu-lagu bergenre begitu, apatah lagi irama itulah yang melonjakkan nama saya,” jelasnya.
Isyarat Cinta mengisahkan persaan cinta yang terbit di antara pasangan Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Iskandar (Adi) yang cacat pendengaran dengan Dhia (Liyana) yang buta.
Hubungan unik ini kemudiannya dilanda badai apabila muncul pula seorang jejaka sempurna sifat bernama Ariel lakonan Fizo Omar, yang juga menagih cinta Dhia. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: SARA KHALID
Foto/Video: RIZA RAZAK
https://www.youtube.com/watch?v=ocPL020_fYE&feature=youtu.be
https://www.youtube.com/watch?v=tbljGpk_SIo