KUALA LUMPUR – Keluarga Siti Nur Ismawida Ismail yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia Ahad lepas, berterima kasih kepada semua pihak yang membantu membawa pulang jenazah wanita tersebut. Bapa Allahyarham Ismail Abdul Raffar, 62, berkata hanya itu yang mampu diucapkan beliau sekeluarga.
“Saya hanya mampu ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang amat mengambil berat tentangnya.
“Terima kasih juga kepada Kementerian Luar atas pertolongan, malah (Menteri Luar) Datuk Saifuddin Abdullah sendiri menghubungi saya untuk bertanya khabar dan bertanya apa sahaja yang diperlukan oleh keluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Ar Rahimah, Kampung Pandan, di sini hari ini.
Jenazah anaknya tiba di Masjid Ar Rahimah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada kira-kira 7 malam tadi.
Selepas disolatkan, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Sentul untuk dikebumikan.
Allahyarham Siti Nur Ismawida, 30 dilaporkan terkorban dihempap runtuhan tembok bangunan dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 6.4 pada skala Richter yang menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pada 5.47 pagi Ahad.
Allahyarham dalam program mendaki Gunung Rinjani, gunung berapi di Lombok Timur bersama-sama 17 warga Malaysia yang lain. – BERNAMA