LABUAN – Pendatang tanpa izin yang menjadi usahawan dalam sekelip mata menjadikan bandar di negara ini pusat jualan bagi pelbagai barang tiruan, kata Jabatan Imigresen.
Ketua pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata perkara itu perlu ditangani dengan berkesan kerana penjualan barang tiruan secara terbuka memalukan dan memberi imej buruk kepada negara ini.
Pendatang yang menggunakan premis tempat mereka menjalankan perniagaan berkenaan juga didapati tidak mematuhi undang-undang kecil majlis tempatan daripada aspek kebersihan, jenis perniagaan dan pengubahsuaian yang dilakukan.
“Baru-baru ini saya menyertai datuk bandar Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan terhadap premis perniagaan dan kami dapati ada premis diubah suai secara haram untuk menjalankan pelbagai jenis perniagaan, termasuk sebuah bilik kecil yang dilengkapi katil kecil bagi tujuan pelacuran,” katanya.
Mustafar berkata operasi perlu dipertingkatkan bersama-sama majlis tempatan bagi membasmi aktiviti haram itu kerana ia menjadi penyakit masyarakat.
Beliau juga menyentuh tentang kawasan kediaman pekerja asing di mana penghuninya tidak mengamalkan sistem sanitasi sewajarnya dengan sistem perparitan yang tidak teratur dan tidak mematuhi peraturan berkaitan tapak pembuangan sampah.
“Banyak aduan diterima daripada orang ramai tentang keadaan itu. Memanglah kami tidak bertindak berdasarkan aduan semata-mata, tetapi kami mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya.
Mustafar berkata kewujudan pendatang yang berniaga juga menimbulkan keadaan tidak menyenangkan bagi peniaga tempatan.
Menurut beliau, 8,456 operasi dilancarkan di seluruh negara antara 1 Jan dan 27 Julai, di mana 103,529 orang diperiksa dan 25,152 pendatang tanpa izin serta 656 majikan (yang mengambil bekerja dan melindungi pendatang tanpa izin) telah ditangkap. – BERNAMA