KUCHING – Jabatan Imigresen Sarawak berjaya menahan 4,261 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dalam ‘Ops Mega 3.0’ setakat semalam sejak operasi itu dilancarkan pada 1 Julai lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata sebanyak 82 majikan turut ditahan dalam operasi itu kerana menggaji atau melindungi PATI.
“Penahanan tersebut adalah hasil daripada 1,506 operasi yang dijalan di seluruh Sarawak semenjak Ops Mega dilancarkan dan sejumlah 16,988 warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor telah diperiksa.
“Kita (Imigresen) telah bagi peluang kepada PATI untuk menyerah diri secara sukarela untuk dihantar pulang ke negara asal, jika mereka masih berkeras, tindakan akan diambil. Ini adalah langkah untuk memastikan negara kita bebas dari PATI.” Katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Mesyuarat Khas Mempertimbangkan Permohonan Permit 2018 di Jabatan Imigresen Malaysia di Bangunan Tuanku Haji Bujang di sini hari ini.
Tambah Mustafar, tiada halangan bagi majikan yang mahu menggunakan tenaga kerja warga asing namun majikan tersebut harus memohon visa pekerja asing secara sah.
“Jabatan Imigresen akan meneliti pemohonan visa tersebut, jika tiada sebarang keraguan pasti akan diluluskan.”katanya.
Setakat ini, katanya, dalam 8,394 operasi yang dijalankan di seluruh negara, sebanyak 103,082 warga asing telah diperiksa.
Daripada jumlah itu seramai 24,937 PATI ditahan manakala 647 adalah majikan. – BERNAMA