BATU KAWAN – Sejumlah 895 saman dikeluarkan terhadap 446 lori yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam ‘Ops Lebih Muatan’ oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang bermula 10 Julai hingga hari ini.
Pengarah JPJ negeri Mohamat Johari Mat Nor berkata daripada jumlah itu, sebanyak 282 saman membabitkan kesalahan lebih muatan; kesalahan muatan bahaya (36); tiada lesen memandu (35); lesen memandu tamat tempoh (26); tiada lesen vokasional kenderaan (36); kesalahan teknikal (211); dan kesalahan-kesalahan lain (269).
Beliau berkata sepanjang operasi itu, pihaknya memberi tumpuan kepada ‘tipper dumper’ yang menyalahguna kelulusan tambah dinding bagi tujuan membawa barang pertanian serta lori jenis kargo am yang melakukan kesalahan membawa barang melebihi had muatan.
“JPJ membenarkan lori tipper dumper untuk membawa hasil pertanian seperti kelapa sawit, beras dan sebagainya tetapi apa yang berlaku mereka sebenarnya membawa bahan binaan seperti pasir, batu yang boleh mendatangkan kerosakan kepada struktur jalan serta risiko kepada pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Seramai 112 anggota dan pegawai JPJ terlibat dalam operasi itu. – BERNAMA

