KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa mendakwa talian telefon bimbit beliau dan Setiausaha Agung parti itu, Rafizi Ramli digodam pihak tidak bertanggungjawab jawab lewat petang semalam.
Fariz mendakwa, kejadian itu menyebabkan talian beliau dihujani beratus panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memarahinya sejak pukul 6.02 petang semalam.
“Mereka menerima satu pesanan SMS daripada nombor talefon bimbit saya berbunyi “Bila maw byar hutang wa arr .. Lu jgn bikin panas.. Parang wa dh lme x mkn olang..call Wa blk!!!”.
“Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara setelah menyedari bahawa nombor telefon saya digodam bagi memfitnah dan menginaya saya supaya terganggu dengan orang yang marah dan memaki hamun,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fariz turut mendakwa dihubungi pegawai penyiasat daripada Balai Polis Dang Wangi kerana terdapat banyak laporan polis terhadap beliau selaku pemilik nombor telefon tersebut.
Beliau mendakwa, talian telefon bimbitnya digodam bagi menganggu fokusnya terhadap gerak kerja program untuk hari penentuan keputusan fitnah liwat 2 Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Kehakiman,Putrajaya esok.
“Saya langsung tidak mematahkan semangat dan gerak kerja saya bagi meneruskan mobilisasi Rakyat Hakim Negara,” katanya. – mynewshub.cc

