KANGAR – Seorang pegawai Jabatan Perikanan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana meminta dan menerima wang RM4,000 daripada pemilik bot, direman enam hari mulai hari ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Hafzan Ab. Aziz bagi membolehkan siasatan terhadap pegawai berusia 48 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurut Pengarah SPRM Perlis Mohd Shukor Mahmud, suspek ditahan di sebuah kedai makan di Kuala Sungai Baru dekat sini pukul 1.50 tengah hari Khamis.
“Suapan itu dipercayai bertujuan mempercepatkan proses pembaharuan lesen bot pengadu,” katanya semasa dihubungi pemberita di sini, hari ini. – BERNAMA

