KUALA LUMPUR – Setakat hari ini, hanya nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sahaja yang dipertimbangkan bagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong yang mengesahkan perkara itu berkata buat masa ini keputusan itu adalah di tangan Ahmad Zahid sama ada mahu menerima jawatan tersebut atau tidak.
“Kita telah menerima cadangan daripada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming dan perkara ini juga merupakan janji daripada Pakatan Harapan (dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14).
“Jadi kena tanyalah sama ada dia (Ahmad Zahid) nak jadi ketua (Pengerusi) PAC atau tidak. Kalau dia tidak mahu sia-sia sahaja (merugikan pembangkang),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Liew berkata pelantikan pengerusi PAC itu akan diselesaikan dalam persidangan Dewan Rakyat sesi ini.
Semalam, Nga dilaporkan berkata bahawa jawatan itu akan dipegang Anggota Parlimen pembangkang dan pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membincangkan perkara itu dalam pertemuan mingguan mereka dengan Liew esok. – BERNAMA

