LAHAD DATU – Dua pelancong warga emas yang juga sepasang suami isteri cedera ringan apabila van dinaiki terbabas di Kawasan Kawag, Jalan Lembah Danum dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata dalam kejadian 2 petang itu, suami isteri berusia 64 dan 63 tahun itu dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan.
Beliau berkata pemandu van, lelaki berumur 36 tahun serta lima lagi pelancong terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 64 dan 66 tahun, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati van membawa tujuh pelancong tempatan itu dalam perjalanan dari bandar Lahad Datu ke Lembah Danum Rainforest, namun setibanya di lokasi kejadian pemandu hilang kawalan di jalan selekoh tidak berturap sebelum van tersebut terbalik secara mengiring,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hamzah berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu van yang hilang kawalan sehingga ia terbabas.
Semalam, dilaporkan lapan individu cedera ringan selepas van dinaiki terlibat kemalangan di Jalan Lembah Danum dekat sini. – BERNAMA

