PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan bekas ketua editor berita TV3, Mohd Khaidir Ahmad berhubung perintah agar beliau membayar ganti rugi RM50,000 kepada Penolong Pentadbir Tanah Temerloh kerana memfitnahnya di laman Facebook, dua tahun lalu.
Keputusan sebulat suara untuk menolak rayuan itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama Datuk Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Kuorum berkenaan turut memerintahkan kos guaman sebanyak RM10,000 dibayar oleh Mohd Khaidir, 56, selaku defendan.
Pada 28 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Temerloh memerintahkan Mohd Khaidir membayar ganti rugi tersebut kepada plaintif, Mohd Iqbal Zainal Abidin bersama faedah pada nilai lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan kos RM15,000 kepada Mohd Iqbal.
Pada 14 Ogos 2016, Mohd Iqbal memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Khaidir kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam akaun Facebook ‘Khaidir Ahmad’ antara 21 dan 24 Mei 2016 yang mengundang pelbagai komen negatif dan tidak benar daripada defendan dan rakan laman sosialnya.
Plaintif mendakwa semua kenyataan itu membawa maksud beliau seorang pegawai yang korup dan terlibat rasuah, menyalahguna kuasa, berniat jahat terhadap defendan, penipu, tidak berhati perut serta menganiaya bangsa sendiri.
Plaintif mendakwa kenyataan itu ekoran tindakan defendan yang marah kerana beliau menandatangani notis bertarikh 15 Mei 2015 berkaitan isu pendudukan tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri kepada defendan.
Mohd Iqbal mendakwa Mohd Khaidir juga enggan memohon maaf atau menarik balik kenyataan fitnah itu, walaupun beliau telah menghantr surat tuntutan kepadanya pada 28 Mei 2016.
Peguam Ikmal Hisam Idris, yang mewakili Mohd Khaidir, berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
Mohd Khaidir juga diwakili peguam T. Gunaseelan manakala peguam Adnan Seman mewakili Mohd Iqbal. – BERNAMA

