MELAKA – Polis Melaka menahan 23 lelaki kerana terlibat dalam aktiviti pertaruhan sepanjang Piala Dunia 2018 dan merampas wang tunai berjumlah RM21,776 dalam Op Soga bermula 14 Jun hingga 15 Julai lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hassan berkata turut dirampas 23 telefon bimbit bernilai kira-kira RM24,500 milik lelaki yang ditahan, berusia 20-an hingga 50-an itu, dipercayai digunakan sebagai medium pertaruhan judi tersebut di sekitar negeri ini.
“Semua yang ditahan menggunakan beberapa aplikasi judi bola yang dimuat turun di telefon bimbit masing-masing untuk bertaruh dalam judi bola sepanjang perlawanan Piala Dunia dan jumlah pertaruhan berbeza-beza mengikut aspek pertaruhan yang dibuat,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata dua daripada lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1963 kerana bertaruh di rumah pertaruhan terbuka dan mengutip pertaruhan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Katanya, 21 lagi disiasat di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 dan penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Abd Jalil berkata seorang penagih dadah ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita berusia 56 tahun yang ditemukan mati di rumahnya di Kampung Tanjong Luar Pulau Sebang di Alor Gajah di sini pada 29 April lepas.
“Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Tanjong Rimau Pulau Sebang dalam Op Khas Bersepadu kira-kira 2 petang 9 Julai lepas dan hasil siasatan lanjut mendapati suspek telah memecah masuk rumah mangsa buat kali kedua sebulan selepas kejadian pertama untuk mencuri bagi membeli dadah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata tujuh anggota kumpulan curi motosikal ‘Kumpulan Fariq Gagap’ berjaya ditahan dan 16 kes curi motosikal yang dilaporkan di sekitar daerah Melaka Tengah dan Jasin di Melaka dan daerah Muar di Johor sejak awal tahun ini berjaya diselesaikan.
Abd Jalil berkata anggota kumpulan berkenaan yang berumur antara 17 hingga 29 tahun diketuai dua beradik berumur 25 dan 24 ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar negeri Melaka bermula 26 Jun hingga 3 Julai lepas.
Katanya kumpulan itu dikesan aktif melakukan jenayah itu sejak awal tahun ini dengan menjual komponen motosikal yang telah dileraikan di Facebook Jual Beli Barang Motosikal pada harga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
Menurutnya rangka motosikal yang dileraikan dibuang ke dalam sungai di belakang rumah mereka di Taman Peringgit Jaya di sini. – BERNAMA