BERMULA sebagai personaliti program motivasi dan keagamaan, Syamsul Debat kini sedang diintai oleh ramai pengarah tempatan selepas kemunculannya dalam filem This Is Pilah: The Movie.
Menurut Syamsul atau nama sebenarnya Syamsul Amri Ismail, dia kini sudah bersedia melibatkan diri dalam bidang lakonan dengan lebih serius serta berminat untuk cuba pelbagai watak lain di luar perwatakan sebenarnya.

Malah, percubaan pertamanya menerusi filem berkenaan turut telah membuka laluan baginya untuk mencuba bidang baharu yang semestinya bakal mencabar kemampuannya itu.
Bagaimanapun, bagi penceramah berusia 41 tahun itu, dia masih perlu melihat beberapa sudut terlebih dahulu terutamanya daripada kesesuaian masa memandangkan jadual hariannya agak padat dengan jemputan ceramah.
“Dalam This Is Pilah: The Movie, saya menjadi diri sendiri. Disebabkan watak yang dijayakan tidak jauh berbeza dengan tugasan harian saya, mudah untuk merealisasikan karakter itu.
“Namun, jika ada pihak yang mahu saya membawa karakter lain seperti samseng atau sebagainya, saya tiada masalah mencuba. Tetapi, bukan watak atau babak yang boleh mengundang kontroversi.
“Selepas berita saya berlakon tersebar, ada juga pengarah dan syarikat produksi yang merisik-risik. Tetapi, belum ada yang serius mengajukan tawaran. Mungkin mereka fikir saya hanya selesa menjadi diri sendiri,” katanya ketika ditemui oleh pihak BH Online.
https://www.instagram.com/p/Bj1VCIOnm7i/?tagged=thisispilahthemovie
Filem genre komedi romantik terbitan Madnes Film Sdn. Bhd. itu telah mula ditayangkan sejak semalam.
Selain Syamsul, antara pelakon hebat lain yang membintangi filem itu ialah Waris, Juzzthin, Zaidatul Iesna, Kazar Saisi, Ebby Yus dan Joey Daud.
Jalan cerita yang menarik dengan mengangkat Adat Perpatih serta penggunaan sepenuhnya dialek Negeri Sembilan itu mengisahkan tentang dua kekasih yang dapat halangan mendirikan rumah tangga disebabkan berasal dari suku yang sama. – MYNEWSHUB.CC/AH