SEREMBAN – Setiap premis perniagaan di Negeri Sembilan dinasihatkan menyimpan nombor talian hotline semua Ibu Pejabat Polis daerah bagi memudahkan mereka menghubungi polis jika berlaku jenayah.
Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata ia merupakan antara langkah persediaan awal dalam mencegah jenayah.
“Dalam situasi berlaku jenayah, apabila kita cepat dapat menghubungi polis maka pihak polis boleh bertindak pantas dalam menangani jenayah itu,” katanya kepada pemberita semasa lawatan sempena program ‘High Profiling Policing’ (HPP) di sekitar bandar Senawang di sini, hari ini.
Selain itu, katanya bagi pengusaha premis perniagaan yang masih tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), dinasihat agar memasangnya bagi membantu pihak polis menyelesaikan kes jenayah dengan lebih cepat dan mudah.
Mengenai program HPP itu, beliau berkata ia bertujuan untuk menyedarkan masyarakat khususnya ahli perniagaan untuk bekerjasama membantu polis menangani kes jenayah selain memperoleh maklumat di peringkat akar umbi.
Sempena program berkenaan pengusaha premis yang terlibat dibekalkan risalah mengandungi panduan pencegahan jenayah sebagai langkah keselamatan dan perlindungan diri.
Sebanyak 40 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban terlibat di dalam program berkenaan.
Menurut Jaafar, program HPP akan diteruskan dalam usaha mendapat maklum balas daripada masyarakat dalam menangani jenayah di negeri itu. – BERNAMA

