SEREMBAN – Mayat seorang lelaki dipercayai warga Myanmar ditemui di tapak projek perumahan Hijayu, Bandar Baru Sendayan dekat sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mayat lelaki berusia lingkungan 30-an dengan kesan kelar di leher, muka serta kedua-dua pergelangan tangan itu ditemui seorang pekerja tapak pembinaan pada 9 pagi.
“Kita percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan tapak pembinaan itu.
“Setakat ini, tiada sebarang dokumen pengenalan atau senjata dijumpai di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat. – BERNAMA

