LIPIS – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah membaiki 52 buah rumah yang rosak akibat banjir di Pahang, dalam tempoh hanya 17 hari selepas dilantik untuk melakukan kerja-kerja itu.
Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pelantikan itu dibuat pada 20 Jan lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 20 rumah terletak di Maran telah dibaiki manakala bakinya adalah rumah penduduk Kampung Aur Gading di sini.
“Tempoh masa untuk baik pulih rumah adalah antara tujuh hingga 30 hari, bergantung kepada kerosakan yang berlaku. Jika kerja itu melibatkan kerja menukar dinding atau sistem kumbahan, ia memerlukan hampir sebulan untuk disiapkan,” katanya.
“Kos baik pulih pula antara RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada kerosakan kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Projek Pembinaan Rumah Kekal mangsa banjir di Kampung Aur Gading di sini, Khamis.
Turut serta dalam lawatan itu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Mohd Shafie, setakat ini, sebanyak 6,920 buah rumah telah dikenal pasti memerlukan kerja baik pulih, meliputi 1,664 di Kelantan, Terengganu (166), Pahang (2,632) dan Perak (2,458).
Bagaimanapun, jumlah itu dijangka akan meningkat mengambil kira keadaan banjir yang berlaku di Sabah dan Sarawak, katanya.
“Kita menerima peruntukan sebanyak RM69.2 juta daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kerja-kerja baik pulih dan kerja-kerja dilakukan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya. – BERNAMA

