BARU-BARU ini pelakon, Aiman Hakim Ridza dilihat begitu berani melontarkan suara dan menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap teknik penulisan skrip drama pada masa kini.

Perkara itu ternyata menarik perhatian pengarah drama, Shahrul Ezad Mohamedin yang menolak dakwaan pelakon itu menyifatkan banyak skrip drama dihasilkan pada ketika ini tidak berkualiti dan seperti ‘sampah’.
Pun begitu, beliau sedikit pun tidak menyalahkan Aiman berikutan tindakannya mengeluarkan kenyataan itu sebaliknya beranggapan aktor tersebut bernasib malang kerana berlakon dalam karya dengan skrip tidak bermutu.
“Sebagai penggiat, penerbit, pengarah dan menulis skrip, saya dapati banyak cerita bagus ditulis di Malaysia. Contohnya adalah drama bersiri Nur kasih ditulis Mira Mustafa, Kekasihku Seru dan Andainya Takdirnya.
“Bukan rezeki Aiman terbabit dalam produksi bagus. Dia tidak patut menyalahkan skrip tidak bermutu,” kata Ezad dipetik Harian Metro.

Jelas Ezad, aktor yang sebelum ini dikenali menerusi drama Girlfriend Dari Neraka dan Isteri Separuh Masa itu juga seharusnya perlu bertanggungjawab untuk memilih projek yang berkualiti.
“Saya mendoakan pelakon drama bersiri Girlfriend Dari Neraka itu bertemu skrip bagus untuk kelangsungan kerjaya seninya,” ujar Ezad lagi.
Dalam perkembangan lain, pengarah dan penulis skrip terkenal, Erma Fatima juga tidak menyalahkan Aiman kerana penulis skrip terikat dengan kehendak stesen TV yang bergantung kepada penonton.
“Perkara itu bergantung kepada penonton sendiri. Kalau kita lihat tema drama tempatan sama saja dan berada ditakuk lama tetapi walaupun sama itulah memperoleh jumlah tontonan tinggi.
“Jadi stesen TV, akan mengarahkan penerbit dan penulis skrip menghasilkan karya yang dimahukan penonton berdasarkan garis panduan drama dengan jumlah tontonan tinggi,” kata Erma.

Dalam pada itu, Erma berkata, sebenarnya di Malaysia terdapat ramai penulis skrip yang bagus dan mempunyai idea luas tetapi cuma untuk kelangsungan hidup.
“Cuma mereka terpaksa berkarya dengan tangan terikat dan patuh kepada kehendak penonton,” tambah Erma.
Sebelum ini, Aiman pernah ‘bersuara’ berhubung teknik penulisan drama dengan beranggapan rata-rata skrip drama dihasilkan ketika ini teruk, sambil lewa dan ‘membunuh’ industri seni.
Pada masa sama, Aiman mengakui tidak takut jika namanya disenarai hitam mana-mana pihak ekoran tindakannya itu malah bersedia bersemuka dengan penulis skrip untuk berbincang mengenai isu terbabit. – MYNEWSHUB.CC