NADIR… Bilangan syarikat pembuat motosikal yang dianggap agak unik hanya kerana ada ruang duduk di sisinya itu dilaporkan tinggal segelintir sahaja di merata dunia.
Namun syarikat terakhir pembuat “sidecar motorcycle” itu di Rusia masih rancak beroperasi. Malahan sebuah kilang di bandar kecil Irbit di wilayah ural itu masih beroperasi sejak ditubuhkan 75 tahun lalu.
Kegiatan penghasilannya kembali rancak kerana motosikal retro tersebut kian diminati di Amerika Syarikat (AS). Semasa era Soviet Union, kilang itu pernah menghasilkan lebih 50,000 motosikal setiap tahun.
Namun ia menghadapi kesulitan besar akibat permintaan yang jatuh junam berikutan perpecahan kesatuan negara terbesar di dunia itu dan kemerosotan ekonomi Rusia sendiri sejak 1992 lepas.

Bagaimanapun kilang tersebut mula mendapat nafas baharu berikutan minat semakin bertambah terhadap motosikal jenis klasik berkenaan apabila mendapat banyak permintaan di seluruh AS pula.
Sejak tahun 1993, kilang itu mengeksport motosikalnya ke AS. Ia bahkan sudah melakukan beberapa perubahan kosmetik dan aksesori bagi terus menarik minat para pembeli negara Uncle Sam itu.
Kilang tersebut sekarang mampu menghasilkan lima pilihan model motoskal Ural dalam 60 warna. Uniknya kebanyakan barang komponennya diimport dari pelbagai negara Eropah dan Asia.
Model-model vintaj ini menjadi amat popular setelah pelakon terkenal Hollywood, Brad Pitt tular dilihat bergaya menunggang motosikal tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

