KULIM – Lebih RM200,000 diperlukan bagi menampung kos baik pulih kerosakan yang berlaku di daerah ini akibat banjir kilat yang melanda, baru-baru ini.
Pegawai Daerah Kulim Mohamad Che Nai berkata berdasarkan penilaian awal, penekanan tertumpu kepada membaiki jalan runtuh, tebing sungai terhakis serta keperluan membina jajaran sungai.
“Kita akan memuktamadkan berapa kerosakan sebenar kepada pihak berwajib dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas melakukan penilaian bersama Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS),” katanya kepada Bernama.
Hujan lebat berterusan sejak kebelakangan ini di sini menyebabkan banjir kilat melanda dengan lebih 1,000 penduduk daripada 314 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Bencana itu turut mengorbankan nyawa dua beranak, sekali gus mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengunjungi keluarga mangsa semalam di Kampung Baru, Sungai Kob.
Sementara itu, Mohamad berkata aktiviti penamanan semula pokok kelapa sawit di atas bukit berhampiran Kampung Baru, Sungai Kob, dekat sini dipercayai punca banjir lumpur di kawasan itu yang turut menjejaskan kira-kira 80 rumah penduduk.
Pihaknya mendapati terdapat hampir 30 lot tanaman kelapa sawit dan pokok getah di kawasan bukit itu dengan beberapa pokok baharu berusia enam bulan.
“Di atas bukit itu juga mempunyai lembangan dan kemungkinan air dari gunung turun ke bukit itu sebelum masuk ke kawasan sempit, sekali gus mewujudkan kepala air dan banjir lumpur, ” katanya.
Untuk itu, pihaknya bersama Jabatan Perhutanan negeri dan JPS akan memantau aktiviti penamanan semula di kawasan bukit serta pembalakan bagi mengelak berulangnya kejadian banjir kilat atau banjir lumpur. – BERNAMA

