MASJID tidak seharusnya menjadi tempat beribadah semata-mata sebaliknya institusi ini perlu digunakan sebaiknya dalam pelbagai fungsi termasuklah aspek ekonomi.
Berhubung hal tersebut, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyarankan semua masjid di Pahang menganjurkan aktiviti berasaskan ekonomi.
Titahnya, aktiviti sedemikian turut mampu menjana pendapatan sampingan kepada masjid berkenaan selain merapatkan hubungan masyarakat setempat.
Lapor Berita Harian, baginda menyarankan satu polisi dan dasar mengenai kaedah dan tatacara pembabitan institusi masjid dalam aktiviti ekonomi dapat dibentuk oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Baginda bertitah demikian bukan bermakna semua aktiviti ekonomi di masjid dikomersialkan seumpama syarikat korporat, sebaliknya bertujuan mempercepatkan perkembangan ekonomi institusi masjid di negeri ini.
“Fungsi masjid tidak seharusnya dihadkan kepada urusan ibadat semata-mata, sebaliknya ia mempunyai skop yang luas.
“Pada zaman Rasulullah SAW, masjid bukan sahaja sebagai tempat beribadat, tetapi juga pusat pentadbiran, dakwah dan kegiatan ekonomi,” titahnya ketika berucap merasmikan Masjid Talha Bin Ubaidillah, Kampung Temin, malam tadi.
Seramai 200 penerima menerima sumbangan diraikan dalam majlis berbuka puasa tersebut.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, Zuridan Md Daud.
Selain mengimarahkan masjid dalam bentuk kerohanian, aktiviti muamalat dan ekonomi boleh dijalankan untuk menambah dana dan membiayai semua aktiviti masjid tanpa perlu bergantung kepada kerajaan negeri, titak Tengku Abdullah.
“Mungkin pengurusan masjid boleh menganjurkan aktiviti berasaskan ekonomi seperti bazar Jumaat, pusat tuisyen, kios makanan dan minuman, klinik masjid, penyewaan dewan dan penganjuran kursus.
“Masjid juga boleh turut terbabit dalam aktiviti pelaburan dana terkumpul seperti skim pelaburan koperasi dan sebagainya. Ini semua mempunyai nilai ekonomi yang baik dan menjana pendapatan tambahan tanpa bergantung kepada kerajaan atau tabung kutipan,” titahnya lagi.
Seruan baginda selari dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah dalam memartabatan Islam melalui institusi masjid.
Melihat kembali sejarah Islam, Rasulullah telah menjadikan masjid sebagai tempat pelbagai fungsi selain beribadah antaranya majlis ilmu, tempat perbincangan, kegiatan ekonomi dan tempat melakasanakan aktiviti harian. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

