KUALA LUMPUR – Seorang bekas penasihat kewangan di sebuah bank hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang milik pelanggan berjumlah lebih RM1.2 juta dua tahun lepas.
Bagaimanapun, Zainab Ilyana Lokman, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.
Mengikut pertuduhan, Zainab, sebagai penasihat kewangan yang telah diamanahkan dengan harta iaitu wang milik pelanggan berjumlah RM1,223,000 didakwa melakukan pecah amanah wang berkenaan di HSBC Amanah Malaysia Berhad, Jalan Telawi, Bangsar dekat sini antara Ogos 2016 dan Oktober 2016.
Wanita itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh namun, peguam Lily Chua, yang mewakili Zainab memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah atas alasan dia kini hanya bekerja sebagai jurujual dan perlu menyara nenek dan adiknya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

