SEORANG bayi di India yang dilahirkan dengan sindrom `ikan duyung’ hanya sempat melihat dunia selama 15 minit sahaja sebelum meninggal dunia.
Bayi yang tidak dinamakan itu bagaimana pun tidak dapat ditentukan jantinanya disebabkan kakinya bercantum dan tidak mempunyai alat sulit. Dia dilahirkan dalam keadaan yang jarang dialami, dikenali sirenomelia.
Ibunya, Disksha Kamble, 25, melahirkan bayi itu secara normal di sebuah hospital. Sepanjang lapan bulan mengandung, dia hanya melalui sekali imbasan dan mengetahui mengenai keadaan anaknya itu selepas melahirkan bayi tersebut.
Sindrom duyung ini hanya berlaku satu dalam setiap 60,000 ke 100,000 kelahiran.
Dalam pada itu, pakar sakit puan, Dr. Sanjay Bansode, berkata beliau terkejut melihat keadaan bayi tersebut ketika dilahirkan.
“Ibunya tiba di hospital pada pukul 7 pagi dan dia melahirkan anaknya dua jam kemudian.
“Semua orang terkejut melihat bayi ini. Bukan hanya kakinya melekat dan alat sulitnya juga tiada, malah organ dalaman seperti buah pinggang dan paru-paru juga mengalami kecacatan,” katanya.
Bayi itu, katanya, hanya mampu bertahan selama 15 minit sahaja. – MYNEWSHUB.CC

