KOTA BHARU – UMNO tidak mempunyai masalah dengan siasatan yang dilakukan ke atas pucuk pimpinannya selepas pembentukan kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, prinsip ‘rule of law’ atau keluhuran undang-undang perlu sentiasa dipraktikkan dalam apa-apa bentuk siasatan dan pendakwaan.
Jelasnya, sebarang siasatan terhadap seseorang itu tidak boleh dilakukan sekiranya hanya bermotifkan agenda tersendiri seperti mahu menjatuhkan seseorang atau bersifat balas dendam.

Menurut laporan Astro Awani, Annuar berkata seseorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah mahkamah membuktikan sebaliknya.
“Saya menyokong, siasatan satu benda yang wajib kalau ada sesiapa sahaja, baik pemimpin UMNO atau pemimpin kerajaan, tapi ‘rule of law’ mesti dipertahankan, jangan jadi ‘rule of men’.
“Asalkan berjalan ikut saluran undang-undang, silakan. Tetapi, jangan anggap seseorang itu salah sebelum dibuktikan bersalah. Tiada siapa yang harus dikecualikan,” katanya.
Annuar berkata demikian ketika ditanya mengenai siasatan yang sedang dijalankan terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa orang lagi pemimpin UMNO dan juga bekas ketua jabatan kerajaan.
Bekas presiden UMNO itu disiasat untuk kali kedua hari ini di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata bahawa secara peribadi beliau menyokong beberapa tindakan kerajaan PH yang mengambil keputusan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Selain itu, Annuar juga bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga gaji peminjam mencecah RM4,000.
Ujarnya, sebarang tindakan yang baik untuk negara yang dilakukan kerajaan seharusnya disokong, apatah lagi kerajaan yang dipilih ini diberikan mandat oleh rakyat untuk memimpin negara ini.
Malah, Annuar berkata, sebagai pemimpin dalam parti pembangkang, beliau berpandangan bahawa segala perkara baik yang dilakukan oleh rakyat tidak sepatutnya dinafikan dan perlu dihormati. – MYNEWSHUB.CC/EZ

