PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memasuki Pejabat Perdana Menteri hari ini untuk memulakan tugas secara rasmi dari bangunan Perdana Putra di sini.
Beliau sebelum ini beroperasi di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, sejak menerajui kembali tampuk pemerintahan negara setelah Pakatan Harapan dipimpinnya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.
Tampil berpakaian sut hitam, beliau tiba pada kira-kira 8.25 pagi di lobi Perdana Putra dengan disambut Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohd Zuki Ali.
Mahathir, 92, kemudian disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa di Aras 5, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri dan diikuti bacaan doa sebelum memasuki pejabatnya.
Beliau juga menandatangani surat memulakan tugas. Mahathir akan mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama selepas ini. Beliau kembali bertugas di Pejabat Perdana Menteri itu selepas 15 tahun.
Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia keempat sejak 1981 sebelum meletak jawatan pada 2003 setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.
Beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada 10 Mei berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 itu, sekali gus menjadi perdana menteri tertua di dunia. – BERNAMA

